December 20, 2008

Penentangan Orang Melayu terhadap Malayan Union

Sahabat saya Nazir Dalimi ada menulis sesuatu yang berinfomasi tentang sejarah penting bangsa Melayu, Saya ambil sebiji apa yang ditulis dalam blog beliau untuk dapat kita kongsi bersama hasil penulisan beliau.

Penentangan Orang Melayu Terhadap Malayan Union

Bom atom yang digugurkan di Hiroshima pada 6 Ogos 1945 dan di Nagasaki pada 9 Ogos 1945, merupakan bibit-bibit akhir kekalahan pihak Jepun di tangan pihak Berikat yang di ketuai oleh Amerika Syarikat. Atas perintah Maharaja Hirohito, enam hari selepas kejadian tersebut, maka Jepun pun menyerah kalah. Semua askar-askarnya, diarahkan supaya berundur. Pada tanggal 12 September 1945 pihak Jepun telah menyerah kalah secara rasminya di Tanah Melayu dengan menandatangani perjanjian antara Itagaki dan Lord Louis Mountbatten, di Bangunan Perbandaran Singapura.

Rentetan peristiwa yang berlaku, penduduk tempatan mula memikirkan semula samada mereka perlu terus bergantung kepada kuasa-kuasa Barat untuk berlindung daripada sebarang ancaman luar, kerana telah terbukti pihak British telah gagal dalam mempertahankan Tanah Melayu serta melindungi rakyatnya semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Sekembalinya British ke Tanah Melayu, selepas perang tamat, mereka telah menubuhkan satu pemerintahan peralihan bercorak ketenteraan, yang dikenali sebagai Pentadbiran Tentera British atau British Military Administration (BMA) pada bulan September 1945, dengan tujuan untuk memulihkan keamanan dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan yang telah terhakis. Pada ketika itu, pasukan Bintang Tiga, iaitu bekas kumpulan gerila Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA), yang dianggotai kebanyakannya orang Cina, telah cuba untuk menguasai Tanah Melayu dengan melakukan keganasan. Keadaan telah menjadikan beberapa kawasan di Tanah Melayu huru-hara, terutama sekali di Batu Pahat, Johor dan di Sungai Manik, Perak.

Dalam suasana yang tidak menentu ini, maka pihak British telah mengambil kesempatan memulakan rancangannya untuk menjajah Tanah Melayu dengan lebih serius.


Malayan Union

Sistem Kesatuan merupakan sebuah sistem pentadbiran negara. Dalam konteks di Tanah Melayu ini, ianya dikenali sebagai Malayan Union (Kesatuan Tanah Melayu). Sebenarnya, rancangan British untuk membentuk Malayan Union ini adalah sejak pihak Jepun menawan Singapura pada tahun 1942. Pihak British mendapati, antara faktor utama kekalahan Tanah Melayu kepada pihak Jepun adalah disebabkan oleh masalah penyelarasan antara ketiga-tiga sistem pentadbiran, iaitu Negeri-negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka, dan Singapura), Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Negeri Sembilan, dan Pahang), dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, dan Johor). Jadi, rancangan Malayan Union adalah untuk menyatukannya di bawah satu pentadbiran sahaja.

Sir Harold MacMichael telah diutuskan oleh kerajaan British ke Tanah Malayu. Beliau tiba pada 11 Oktober 1945 di Pelabuhan Swettenham (Pelabuhan Klang). Tugas utama beliau adalah untuk memujuk dan mendapatkan persetujuan Raja-Raja Melayu supaya menyerahkan negeri mereka kepada Raja Inggeris (Kerajaan British), untuk dijadikan Jajahan Takluk (Koloni) Britain. Beliau juga diberi kuasa untuk menyiasat sama ada Raja-raja Melayu ada bekerjasama dengan tentera Jepun atau sebaliknya. Kesannya, Raja-raja Melayu akan kehilangan kuasa dan berperanan hanya sebagai penasihat. Rancangan Malayan Union ini telah membuatkan orang-orang melayu khususnya berasa tidak senang, kecewa, dan marah kepada pihak British, yang selama ini disangkakan kawan, dan jalinan hubungan bersemangatkan kepercayaan, tetapi menjadi ‘duri dalam daging.’

Dalam masa tiga bulan sahaja, iaitu dari 20 Oktober hingga 21 Disember 1945, MacMichael telah berjaya mendapatkan tanda tangan sebagai tanda persetujuan daripada Raja-raja Melayu, terhadap perjanjian Malayan Union. Bermula dengan Sultan Ibrahim (Johor) dan diakhiri dengan Sultan Ismail (Terengganu), sembilan buah negeri kesemuanya. Beliau telah menggunakan kuasa yang diberikan kepadanya dengan mengugut Raja-raja Melayu, dengan memberi amaran jika baginda enggan menerima cadangan Malayan Union, baginda akan disingkirkan atas bersubahat dengan tentera Jepun.

Sir Harold MacMicheal telah pulang ke England pada 6 Januari 1946, membawa bersamanya ‘Kertas-kertas Penyerahan Kuasa’ yang ditanda tangani oleh sembilan Raja Melayu bagi setiap negeri. Pada 22 Januari 1946, Kerajaan British telah membentangkan satu ‘Kertas Putih’ di Dewan Parlimennya, mengumumkan rancangan penubuhan Malayan Union (Negara Malaya Bersatu) yang akan menggantikan pemerintahan beraja di Negeri-negeri Melayu, yang akan berkuat kuasa pada 1 April 1946 (Ja’afar Onn 2007).


Ciri-ciri Perlembagaan Malayan Union

Ciri terpenting dalam Perlembagaan Malayan Union ialah perubahan taraf negeri-negeri Melayu daripada sebuah negeri yang bernaung kepada tanah jajahan. Bermaksud, semua negeri di Tanah Melayu (Singapura dikecualikan, dan kekal sebagai tanah jajahan British secara berasingan) digabungkan di bawah satu kerajaan pusat sahaja. Malayan Union diketuai oleh seorang Gabenor yang dibantu oleh sebuah Majlis Mesyuarat Undangan (MMU) dan Majlis Kerja (MK). Pesuruhjaya Residen menjadi ketua pentadbir tertinggi di negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat. Beliau juga menjadi pengerusi Majlis Mesyuarat Negeri (MMN) yang terletak di bawah kawalan kerajaan pusat. MMN dikekalkan untuk menguruskan hal-ehwal tempatan dan dikawal oleh kerajaan pusat. Majlis ini dianggotai oleh para pegawai British. MMU pula mempunyai bilangan ahli rasmi dan ahli tidak rasmi yang sama banyak. Gabenor berkuasa melulus atau membatalkan sesuatu undang-undang. Semua undang-undang yang dikuat kuasakan tidak memerlukan tandatangan sultan (Ruslan Zainuddin et al. 2005).

Tanah Melayu mungkin akan diberi kemerdekaan, dan Malayan Union dianggap langkah pertama ke arah itu. Namun kemerdekaan tidak akan diberikan selagi kaum-kaum yang ada di Tanah Melayu tidak bersatu (Mohd. Isa Othman 2007). Jadi, hak kewarganegaraan yang sama diberikan kepada semua orang, tanpa mengira kaum dan asal keturunan, ianya termaktub dalam Perlembagaan Malayan Union. Semua kaum diberikan hak yang sama untuk memasuki perkhidmatan awam dan mengundi dalam pilihan raya. Jus soli merupakan satu prinsip yang diguna pakai untuk kaum bukan Melayu bagi mendapatkan hak kewarganegaraan, iaitu melalui kuat kuasa undang-undang dan permohonan.

Pastinya, orang-orang Melayu memberikan reaksi dan bantahan yang hebat terhadap rancangan Malayan Union itu. Beberapa siri perarakan dan tunjuk perasaan berlangsung di hampir seluruh negeri semenanjung sebagai tanda protes. Akhbar-akhbar Melayu seperti Majlis, Utusan Melayu dan Warta Negara juga menjadi saluran utama dalam menyampaikan mesej bantahan orang-orang Melayu. Selain itu, ada di antara Sultan yang menghantar petisyen bantahan kepada kerajaan British, yang mana baginda mempertikaikan cara MacMichael berunding dan mengugut, dan menganggap perjanjian yang telah ditandatangani baginda, adalah tidak sah. Seruan supaya umat Melayu bersatu padu semakin kuat kedengaran di seluruh Semenanjung.

Ruslan Zainuddin et al. (2005) menyatakan enam (6) sebab-sebab penentangan orang Melayu terhadap rancangan Malayan Union. Pertamanya, Perlembagaan Malayan Union digubal tanpa mengambil kira pandangan orang Melayu terlebih dahulu. Raja-raja Melayu diberi masa yang singkat untuk meneliti kandungan perjanjian Malayan Union. Baginda tidak berpeluang untuk berbincang dengan para pembesar atau Majlis Mesyuarat Negeri masing-masing.

Keduanya, Persetujuan Raja-raja Melayu kepada Malayan Union dianggap tidak sah kerana tidak mematuhi perlembagaan negeri-negeri Melayu yang memerlukan raja berunding dengan para pembesar terlebih dahulu sebelum menanda tangani sebarang perjanjian dengan kuasa asing. Perkara ini ada disebut dalam Perlembagaan Negeri Johor.

Ketiganya, Sir Harold MacMichael menggunakan ugutan untuk menyingkirkan mana-mana raja yang tidak bersetuju dengan rancangan Malayan Union. Beliau juga bersikap biadap, tidak mengetahui adat resam dan memahami bahasa Melayu serta tiada pengalaman langsung tentang Tanah Melayu.

Keempatnya, Malayan Union menghapuskan kedaulatan dan kuasa politik Raja-raja Melayu. Kini, kuasa baginda hanya terbatas kepada hal-ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja. Kehilangan kedaulatan dan kuasa politik bermakna raja-raja tidak lagi dapat melindungi hak dan kepentingan orang melayu.

Kelimanya, Perlembagaan Malayan Union menawarkan syarat-syarat kerakyatan yang longgar kepada kaum bukan Melayu. Penerimaan kaum bukan Melayu menjadi warga negara dilihat boleh mengancam kedudukan politik orang Melayu, terutama apabila kesetiaan kaum bukan Melayu kepada Tanah Melayu masih lagi diragui.

Keenamnya, Persamaan hak kepada semua rakyat di Tanah Melayu tanpa mengira kaum dianggap mengancam hak dan kedudukan istimewa orang Melayu. Sebagai penduduk peri bumi di Tanah Melayu, orang Melayu merasakan bahawa mereka perlu menikmati hak dan kedudukan yang istimewa berbanding dengan kaum lain.

Antara tokoh-tokoh penting yang menjadi tonggak utama sebagai pemimpin dalam menentang usaha Malayan Union ini adalah diwakili (Johor) Dato’ Onn Jaafar, Dato’ Abd. Rahman Mohd Yassin, Haji Hassan Yunus, Dr. Awang Hassan, dan Dr. Hamzah Hj. Taib. Sementara Selangor diwakili oleh Encik Zainal Abidin bin Ahmad (Za’aba) dan Dato’ Hamzah Abdullah. Kelantan pula diwakili oleh Dato’ Nik Ahmad Kamil. Manakala Kedah diwakili oleh Haji Mohamad Sheriff.

Namun lain pula reaksi orang bukan Melayu, terutamanya orang Cina. Mereka bersikap ‘tunggu dan lihat’ kerana pihak British telah berjanji untuk memberi hak kerakyatan yang sama kepada semua kaum secara jus soli.

Apabila sahaja pihak British menangguhkan perihal kewarganegaraan atas desakan orang Melayu, orang Cina mula melahirkan rasa curiga dan telah melancarkan bantahan melaui akhbar-akhbar Cina dan menganjurkan penubuhan Malayan Democratic Union (MDU), sebuah pertubuhan politik berhaluan kiri. Bantahan orang Cina ini dipusatkan melalui sebuah badan, iaitu All-Malayan Council of Joint Action (AMCJA) yang ditubuhkan pada bulan Disember 1946, yang mempunyai keahlian seramai kira-kira 400 000 orang dan diketuai oleh Tan Cheng Lock (Ruslan Zainuddin et al. 2005).

Bagi kaum India pada ketika itu, mereka masih memberi tumpuan kepada keadaan politik di India dan Parti Kongres India.



Kongres Melayu Se-Malaya dan Penubuhan UMNO

Maka, buat julung kalinya, pada 1 Mac 1946, Kongres Melayu Se-Malaya telah dapat dianjurkan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Ja’afar Onn (2007) menjelaskan, hampir 300 orang wakil dan pemerhati rasmi dari 41 pertubuhan, persatuan, pergerakan, dan kesatuan Melayu di Semenanjung dan Singapura telah bersidang. Kongres Melayu pertama itu telah dirasmikan oleh DYMM Tuanku Sultan Hishamudin Alam Shah, Raja Selangor, sebagai tanda perpaduan Raja dengan Rakyat.

Hasil daripada persidangan kongres selama empat hari tersebut, Dato’ Onn Ja’afar telah dilantik sebagai Pengerusi Kongres. Beliau juga telah mencadangkan supaya membentuk sebuah ‘Pertubuhan Kebangsaan’ yang bertujuan untuk menjadi pertubuhan induk mewakili keseluruhan umat Melayu. Seorang perwakilan - Dato’ Hamzah Abdullah telah mencadangkan nama “Pertubuhan Melayu Bersatu”. Cadangan tersebut disokong oleh Tuan Mohd Arus Lafaz dan meminta ditambah perkataan “Kebangsaan”. Maka dengan itu, Kongres bersetuju dengan nama “Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu” (PEKEMBAR) atau sinonim dengan panggilan UMNO (Mohd. Isa Othman 2007).

Menurut Ruslan Zainuddin et al. (2005), Kongress Melayu Se-Malaya kedua telah diadakan di Johor pada 11 Mei 1946, meluluskan pembentukan UMNO yang diberi tugas untuk menyatukan orang Melayu bagi menentang Malayan Union. Sekali lagi, Dato’ Onn telah diberi mandat dan kepercayaan, beliau telah dipilih menjadi Yang Dipertua UMNO yang pertama.



Persekutuan Tanah Melayu

“Sekiranya Tuanku sekalian turut menghadiri upacara perlantikan Gabenor Malayan Union itu, rakyat Tuanku sekalian tidak akan mengaku Tuanku sebagai Raja lagi. Rakyat Melayu menganggap bahawa menghadiri majlis istiadat perlantikan Gabenor Malayan Union ialah seolah mengusung jenazah Umat Melayu.” (Ja’afar Onn 2007).

Petikan kata-kata di atas adalah kata-kata daripada Dato’ Onn kepada Baginda Raja-raja Melayu pada malam 31 Mac 1946, supaya tidak berangkat ke upacara perlantikan Sir Edward Gent, sebagai Gabenor Malayan Union yang dijadual berlangsung pada pagi 1 April 1946.

Akibat daripada tentangan hebat orang Melayu keseluruhannya, maka gagasan Malayan Union hanya mampu bertahan selama tiga bulan sahaja. Maka dengan itu, British bersetuju mengetepikan dasar Imperialismenya dengan memansuhkan Malayan Union, dan wujudlah satu rancangan baru iaitu Persekutuan Tanah Melayu.

Kerajaan British telah bersetuju untuk meminda kedudukan (status) Negeri-negeri Melayu daripada taraf ‘Tanah Jajahan Takluk’ kepada Wilayah di bawah ‘Naungan’ Kerajaan British. Perlembagaan Tanah Melayu akan mempunyai sifat persekutuan dengan perundangan dan pentadbiran pusat yang kuat untuk bertanggung jawab dalam urusan umum. Kuasa Negeri-negeri Melayu akan dipulihkan kepada Raja masing-masing dan ianya akan dinyatakan dengan jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan. Malayan Union akan dihapuskan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Sementara Jawatan Gabenor Malayan Union akan diganti dengan Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu. Bahasa Melayu akan menjadi bahasa rasmi Persekutuan Tanah Melayu. Agama Islam akan menjadi agama Utama Persekutuan Tanah Melayu dan hak-hak keistimewaan orang Melayu akan dipulihkan seperti sedia kala (Ja’afar Onn 2007).

Pada bulan Julai 1946, kerajaan British telah membentuk satu Jawatan Kuasa Kerja bertujuan untuk menggubal perlembagaan baru dan merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan Perjanjian Negeri-negeri. Jawatan Kuasa tersebut dianggotai oleh empat orang wakil Raja-raja Melayu, dua wakil UMNO dan enam orang pegawai kanan British.

Dalam pada itu, rancangan Persekutuan Tanah Melayu ini juga telah mengundang bantahan dengan melancarkan hartal (hurt all) oleh kaum Cina (terutamanya), yang dipimpin Tan Cheng Lock. Namun ianya gagal.


Perjanjian Persekutuan

Menurut Mohd. Isa Othman (2007), Perjanjian Persekutuan telah ditanda tangani oleh Sultan-sultan dengan British pada 21 Januari 1948 dan diisytiharkan dengan rasmi pada 1 Februari 1948. Ciri-ciri penting Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, 1948 adalah seperti berikut:

(a)Persekutuan mengandungi sembilan (9) buah negeri Melayu, Melaka dan Pulau Pinang. Singapura terus menjadi koloni British.

(b)Seorang Pesuruhjaya Tinggi British dilantik untuk mengetuai kerajaan dan menjadi pengerusi kepada Majlis Undangan Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Kerja.

(c)Majlis Undangan Persekutuan dianggotai oleh tiga orang ahli ex-officio, sembilan orang Menteri Besar dan dua orang wakil Majlis Tempatan (Pulau Pinang dan Melaka), sebelas orang ahli rasmi dan lima puluh orang ahli tidak rasmi yang dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi.

(d)Sebuah Majlis Raja-raja Melayu dibentuk dan setiap kali persidangan akan dipengerusikan oleh salah seorang daripada Sultan yang dipilih oleh persidangan.

(e)Majlis Negeri ditubuhkan di tiap-tiap negeri bagi membuat undang-undang negeri. Pegawai eksekutif penting di peringkat negeri ialah Menteri Besar.

(f)Kedudukan istimewa orang Melayu terus dipelihara disamping kepentingan sah kaum-kaum lain juga dijaga.

(g)Dari segi kerakyatan, prinsip jus soli telah digugurkan dan diperkenalkan kewarganegaraan bersama. Dengan ini penduduk bukan bumiputera boleh menjadi rakyat Tanah Melayu mengikut undang-undang.

(h)Dalam hal pertahanan dan hal-ehwal luar akan dipegang oleh kerajaan British.


Perjanjian Persekutuan yang telah dimeterai di antara Baginda Raja-raja Melayu dengan British, maka bermulalah satu evolusi politik Tanah Melayu untuk melangkah ke arah pemerintahan sendiri, iaitu Kemerdekaan. Beberapa siri Pilihan Raya telah berjaya diadakan bagi memenuhi hasrat tersebut, bermula di Pulau Pinang pada Disember 1951, Kuala Lumpur pada Februari 1952, dan seterusnya Pilihan Raya Umum yang pertama iaitu pada 27 Julai 1955. Walaupun pada hakikatnya, orang-orang Melayu terpaksa membuat pengorbanan besar dengan bersetuju memberi kerakyatan kepada kaum imigran, namun, selagi mana kuasa dan kedaulatan Raja-raja Melayu serta kedudukan orang Melayu, selain bahasa dan agamanya dapat dipelihara dan diakui oleh semua pihak, ianya amat memadai bagi mereka yang bergelar Melayu.


"Buat tatapan keluarga besar Melayu seluruhnya. Sebuah cebisan nukilan tulisan, supaya kita tetap bersatu dan berdiri teguh, tanpa dibezakan dengan fahaman politik." Nazir Dalimi, 2008.


Nota:
Sebarang kesilapan fakta yang boleh menyebabkan kekeliruan atau perbalahan, saya memohon maaf dan mengalu-alukan sebarang komen yang membina untuk menambah baik penulisan saya ini. Terima kasih.


RUJUKAN

1. Ja’afar Onn. 2007. UMNO dan Malayan Union. Petaling Jaya: MPH Group Publishing.

2. Ruslan Zainuddin, Mohd. Mahadee Ismail & Zaini Othman. 2005. Kenegaraan Malaysia. Shah Alam: Oxford Fajar.

3. Mohd. Isa Othman. 2007. Sejarah Malaysia (1800-1963). Cetak Ulang. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.

4. Ismail Salleh. 2002. Penentangan Orang Melayu Keday Terhadap Malayan Union. Kedah: Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah di http://www.mykedah2.com/10heritage/109_2.

No comments: